1
Jun
Kadar Ketidaksuburan Meningkat Kerana Kurang Kesedaran
Jun
Sudah sekian lama blog ini tidak dikemaskini. Entri terakhir adalah pada 30 Jun 2010 iaitu bertajuk ‘Adakah Anda Masih Boleh Mengandung? (Maknanya, pada tahun 2011, langsung tiada sebarang entri :)) Namun pelawat-pelawat yang datang menjenguk ke blog ini tidak putus-putus. Entri-entri lama masih tetap menjadi rujukan pelawat-pelawat blog. Berdasarkan data-data yang kami dapat dari www.statcounter.com, jumlah pelawat kedua-dua laman web www.mudahhamil.com dan www.mudahhamil.com/blog telah hampir mencecah 600,000(termasuk returning visits) dengan purata pelawat setiap hari adalah 300-400 pelawat. Oleh itu, kami ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan anda semua. Semoga ia menjadi kekuatan kepada kami untuk meneruskan lagi usaha menyebarkan maklumat-maklumat terkini tentang kesuburan.
Hari ini, 1 Jun 2012 adalah hari yang sangat bermakna. Ada 3 sebab;
1) Bulan Jun adalah Bulan Kesedaran Kesuburan Antarabangsa(World Fertility Awareness Month/WorldFAM)
2) 1 Jun 2012, genap 3 tahun usia pelancaran ebook Rahsia Mudah Hamil(dilancarkan pada 1 Jun 2009)
3) 1 Jun 2012, genap 2 tahun usia laman www.HamilShop.com(dilancarkan pada 1 Jun 2010)
4) 1 Jun 2012, Facebook Fanpage: Rahsia Mudah Hamil dilancarkan. (Sila like ya..KLIK FANPAGE RMH—->..http://www.facebook.com/pages/Rahsia-Mudah-Hamil/234941729954982)
Oleh itu, hari ini, kami ingin kongsikan dengan anda satu kajian yang dibentangkan dalam satu konferens di Prague, Czech Republic iaitu European Society of Human Reproductive Endocrinology(ESHRE) Conference. Kajian ini dilakukan oleh the American Fertility Association(AFA) terhadap 17,500 wanita dari 10 buah negara. Kajian ini dibentangkan sempena dengan WorldFAM. Antara negara-negara yang terlibat dalam kajian tersebut adalah United Kingdom, Sweden, Uganda, Jerman, Israel, Belanda, Slovak Republic, Argentina, Turki dan Belgium
Kajian tersebut mendapati bahawa kebanyakan wanita tidak ada pengetahuan asas tentang kesuburan. Antaranya didapati bahawa wanita-wanita tersebut tidak tahu pada tahap umur berapakah tahap kesuburan mereka semakin merosot. Kebanyakan mereka juga tidak tahu bahawa obesiti turut memberi kesan terhadap tahap kesuburan mereka. Yang paling mengejutkan adalah kebanyakan mereka tidak pernah mendapat maklumat tentang perkara-perkara yang boleh mempengaruhi tahap kesuburan mereka. Menurut Pengarah Eksekutif AFA, Pamela Madsen, kurangnya pengetahuan asas tentang kesuburan ini menjadi faktor penyumbang yang besar terhadap peningkatan ketidaksuburan sejak akhir-akhir ini di seluruh dunia.
Dalam kajian ini, responden diminta untuk menjawab 15 soalan yang berkaitan dengan isu-isu kesuburan yang berbeza. Selain dari umur dan obesiti, mereka turut diuji dengan soalan tentang kesan ubat perancang keluarga terhadap kesuburan dan beberapa soalan-soalan asas yang lain. Daripada 17,500 responden tersebut, tidak ada seorang pun yang dapat menjawab kesemua 15 soalan tersebut dengan betul.
Kajian ini sebenarnya adalah satu lanjutan daripada kajian yang sama yang pernah dibuat oleh AFA di US terhadap 12,254 wanita dengan menggunakan 15 soalan yang sama. Kesemua 12,254 responden tersebut juga tidak dapat menjawab kesemua 15 soalan dengan betul.
Kesan daripada itu, wanita-wanita ini tidak tahu bagaimana untuk mengurangkan risiko ketidaksuburan dan tidak tahu bentuk-bentuk rawatan yang boleh dilakukan.
Hasil daripada kajian ini mencadangkan agar usaha yang lebih giat perlu dilakukan bagi mendidk masyarakat dunia tentang pengetahuan-pengetahuan asas reproduktif dan mana program-program ini perlu melibatkan kedua-dua pihak lelaki dan wanita.
Sempena dengan Bulan Kesedaran Kesuburan Antarabangsa ini, pihak kami juga ingin membuat sedikit sumbangan dalam mendidik masyarakat dengan ilmu-ilmu kesuburan ini. Insyallah jika tiada halangan, pada hari Isnin, 4 Jun 2012, kami akan lancarkan satu Ebook yang akan diberikan secara percuma kepada semua pelawat-pelawat blog Rahsia Mudah Hamil.
Bagi Ebook terbaru ini, kami akan menggunakan satu medium khas yang dijangka dapat menyebarluaskan ebook tersebut secara viral diseluruh negara. Oleh itu, besar harapan kami agar anda dapat kembali ke blog ini pada hari Isnin, 4 Jun 2012 untuk memuatturun ebook tersebut dan seterusnya membantu kami bagi menyampaikan maklumat kepada rakan-rakan kita yang lain.
1
Jun
Facebook Fanpage Rahsia Mudah Hamil Dilancarkan..
Jun
Alhamdulillah, dengan ini kami lancarkan Fanpage Rahsia Mudah Hamil.
Semoga dengan adanya fanpage ini, ia akan jadi satu medium untuk ami berhubung dengan semua subscribers Rahsia Mudah Hamil. Dari semasa ke semasa Insyaallah kami akan berkonsi tips-tips ringkas dan berita-berita terkini melalui fanpage ini. Sebarang bentuk penulisan yang agak panjang kami akan kongsikan dalam bentuk entri di blog ini manakala penulisan-penulisan yang lebih detail dan panjang kami akan buat dalam bentuk report/ebook ringkas.
Oleh itu, pastikan anda klik ‘LIKE’ pada FANPAGE RAHSIA MUDAH HAMIL untuk memastikan sebarang update terkini dari kami terpapar di News Feed Facebook anda.
Namun kami ingin ingatkan bahawa ia bukanlah satu ruangan untuk soal jawab tentang kesuburan. Jika anda ada sebarang masalah-masalah tentang kesuburan, seperti yang kami sarankan sebelum ini, anda perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan konsultasi yang profesional dan sempurna. Sebab itulah jika anda perasan, jarang kami jawab sebarang soalan-soalan tentang kesuburan pada ruangan komen di blog ini.
So, jangan tunggu lagi. Terus lawati dan klik ‘LIKE’ Fanpage Rahsia Mudah Hamil — KLIK SINI
30
Jun
Adakah Anda Masih Boleh Mengandung?
Jun
Artikel ini adalah sambungan daripada post yang lepas…
Sedikit ulangkaji daripada post sebelum ini…
-Seseorang wanita dilahirkan dengan berjuta-juta telur tak matang untuk seumur hidupnya dan akan keluarkan satu telur matang bagi setiap kitar haid.
-Semakin meningkat umur, kuantiti dan kualiti stok telur ini(ovarian reserve) akan merosot.
-Jika kualiti dan kuantiti stok telur ini merosot, seseorang itu akan menghasilkan aras FSH yang melebihi aras normal.
-Oleh itu, kualiti dan kuantiti ‘stok telur’ ini boleh diketahui dengan menguji aras FSH ini..
Maka konsep inilah yang dipakai dalam Ujian FSH ini. Ia juga dikenali sebagai ujian kesuburan wanita.
1)Ujian aras FSH boleh dilakukan dalam 2 cara
(a) Di Klinik
Ujian ini dilakukan bermula pada hari ke-3 dalam sesuatu kitar haid. Sila rujuk doktor untuk tahu lebih lanjut
(b) Di Rumah: Personal Home Based FSH Test
FIRST RESPONSE® Fertility Test for Women

Ujian Kesuburan Wanita
Kit ini sangat efektif bagi mengesan aras hormon FSH yang mana akan memberi gambaran tentang kualiti dan kuantiti ‘stok ovari’ seseorang dan ia boleh dilakukan sendiri di rumah.
Home Based FSH Test ini adalah merupakan satu petunjuk kepada potensi kesuburan seseorang wanita yang dikatakan mempunyai aras ketepatan sehingga 95%.
Hasil keputusan Ujian ini akan menjawab satu persoalan iaitu ‘Adakah Saya Masih Boleh Mengandung?’
Untuk maklumat lanjut tentang kegunaan produk ini, sila KLIK SINI
Perlu diingatkan bahawa FSH home based fertility test ini bukanlah sebagai pengganti ujian oleh doktor. Anda perlu segera merujuk kepada doktor bagi mendapatkan ujian lanjut yang ternyata lebih tepat dan sekaligus mendapat khidmat nasihat yang professional.
Menarik bukan? Tapi, ada ke jual kat Malaysia?…..
30
Jun
Kitar Haid Tak Teratur…Mungkin Ini Puncanya
Jun
Bagaimana Ketidakstabilan Sejenis Hormon penting dalam diri seorang wanita iaitu Hormon Perangsang Folikel atau Folikel Stimulating Hormone (FSH) boleh mempengaruhi kawalatur kitar haid seseorang.
Jika badan tidak dapat menghasilkan FSH yang secukupnya, ia akan memberi kesan kepada ’simpanan telur’ dalam ovari seseorang. Keadaan dimana aras FSH yang rendah ini biasa dikesan pada mereka yang mengalami PCOS.
7
Mar
Soal Selidik Kaedah BBT
Mar
Salam,
Alhamdulillah, dari hari-ke hari, bilangan pelawat ke laman www.MudahHamil.com dan juga blog ini sentiasa meningkat. Maka kami ingin mengambil kesempatan ini untuk buat soal selidik yang sangat penting tentang tahap pengetahuan anda tentang kesuburan.
Saya yakin, sebahagian besar dari anda sudah baca report ‘Mengesan Kesuburan Dengan Kaedah BBT’.
Oleh itu, kami ingin meminta jasa baik daripada pelawat-pelawat blog ini untuk meluangkan masa beberapa saat (rasanya tak sampaipun seminit) untuk mengambil bahagian dalam kaji selidik ini.

Sila Lihat ‘Side Bar’ untuk ‘poll’ ===================================>>>
Jutaan terima kasih atas kesudian anda untuk meluangkan sedikit masa.
12
Feb
Carta BBT dan Gangguan Fasa Luteal
Feb
Artikel ini adalah merupakan suatu lanjutan kepada report ‘Mengesan Kesuburan Dengan Kaedah BBT’. Post ini lebih mudah difaham oleh mereka yang telah mula menjadikan aktiviti mencatat BBT sebagai rutin harian mereka. Mudah-mudahan artikel ini bermanafaat.
Apa Itu Fasa Luteal
Suatu kitar haid terbahagi kepada dua fasa.
1. Fasa Folikel – Bermula dari hari pertama haid hingga ovulasi
2. Fasa Luteal – Selepas ovulasi sehingga haid berikutnya
Oleh itu, pemisah antara fasa folikel dan fasa luteal adalah haid dan ovulasi.
Fasa selepas ovulasi dikenali sebagai fasa luteal kerana setelah ovulasi, korpus luteum mula menghasilkan hormon progesteron. Hormon progesteron adalah dominan pada fasa luteal. Ketika aras progesteron ini tinggi, suhu badan akan meningkat dan seterusnya lapisan endometrium dibina sebagai persediaan proses penempelan jika telur berjaya disenyawakan. Lapisan endometrium ini memainkan peranan penting bagi pertumbuhan janin dalam rahim. Oleh itu, jika seseorang wanita tersebut hamil, disebabkan aras Progesteron yang tinggi, suhu badan akan kekal tinggi sebagai inkubator terhadap janin yang terbentuk. Kitar haid akan tertangguh sehingga habis tempoh kehamilan.
Jika tiada persenyawaan berlaku, lapisan endometrium yang dipenuhi dengan saluran darah ini akan runtuh, maka darah bersama-sama dengan kandungan dinding endometrium yang runtuh ini akan keluar sebagai darah haid.
Fasa luteal juga dikenali sebagai Days Past Ovulation (DPO), Tempohnya adalah sekitar 12-14 hari.
Fakta Penting Tentang Fasa Luteal
Fasa folikel adalah tidak tetap kerana ia bergantung kepada bila berlakunya ovulasi manakala ovulasi pula boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti stress, pengambilan ubat-ubatan, peningkatan aktiviti-aktiviti harian dan faktor-faktor lain. Jika proses ovulasi terganggu, maka tempoh fasa folikel juga berubah.
Tempoh fasa luteal pula adalah sangat tetap bagi seseorang individu, jika ada perubahan pun tak lebih dari 1 hari.
Berikut adalah suatu ’misconception’ bagi seseorang wanita yang mengunakan kaedah kalendar bagi mengira hari-hari subur iaitu mereka kira dari ’depan’ iaitu dari fasa folikel sedangkan fasa folikel boleh berubah-ubah. Sebaliknnya, pengiraan hari ovulasi dan hari-hari subur ini sepatutnya dikira dari ’belakang’ atau dari fasa luteal ini.
Dengan mengambil kira fakta ini, kita boleh kesan waktu ovulasi dalam sesuatu kitar haid dengan formula berikut:
Tempoh Kitar Haid – Tempoh Fasa Luteal.
Contoh:
Tempoh Kitar Haid = 28 hari
Tempoh Fasa Luteal =12 Hari
Ovulasi : 28-12=16
Oleh itu, ovulasi akan berlaku pada hari ke 16 bagi kitar haid wanita ini.
Formula inilah yang digunakan oleh mana-mana Kalendar Ovulasi bagi mengesan hari-hari subur. Dalam ebook Rahsia Mudah Hamil, kami ada terangkan bagaimana untuk mengesan hari-hari subur berdasarkan Kaedah Kalendar ini dengan lebih detail dengan bantuan satu gambarajah khas. Hanya rujuk gambarajah tersebut sahaja dah boleh tahu bila hari subur tanpa perlu kira-mengira seperti di atas.
Bagaimana Mengesan Fasa Luteal dari carta BBT?
Fasa Luteal = bermula dari Ovulasi hingga Hari pertama Haid.
Bagaimana untuk kesan tempoh fasa luteal ini melalui carta BBT? Rujuk gambarajah di bawah.

Berdasarkan rajah di atas,
Tempoh kitar haid wanita ini = 28 hari.
Ovulasi berlaku pada = hari ke 14
Tempoh fasa luteal adalah = 14 hari
Apa Itu Gangguan Fasa Luteal?
Bagi kebanyakan wanita, fasa luteal adalah sekitar 14 hari, bahkan mungkin juga bagi sesetengah wanita sehingga 17 hari. Keadaan ini adalah normal.
Seseorang itu dikatakan mengalami Gangguan Fasa Luteal jika fasa lutealnya menjadi pendek dan haid akan berlaku lebih cepat setelah ovulasi. Atau lebih tepat lagi, seseorang itu dikatakan mengalami Gangguan Fasa Luteal jika didapati fasa lutealnya adalah 10 hari atau kurang.
Berikut adalah definisi ‘Luteal Phase Defects’ yang kami dapat dari laman MediLexicon iaitu sebuah laman web yang memnyediakan servis ‘Online Medical Dictionary’.
inadequate secretion of progersterone during the luteal phase of the menstrual cycle, with resultant infertility
(Satu keadaan dimana kekurangan rembesan hormon Progesteron ketika fasa luteal dalam sesuatu kitar haid yang mengakibatkan ketidaksuburan). Wanita yang mengalami Gangguan Fasa Luteal tidak dapat menghasilkan hormon Progesteron yang mencukupi ketika Fasa Luteal. Oleh itu, dinding endometrium tidak bersedia sepenuhnya untuk proses penempelan dan pembentukan janin.
Bagaimana Mengesan Gangguan Fasa Luteal dari Carta BBT?
Kita dapat mengesan Gangguan Fasa Luteal ini melalui carta BBT, iaitu jika jarak diantara ovulasi dan haid seterusnya adalah 10 hari atau kurang. Fasa luteal ini mestilah lebih dari 10 hari bagi menyokong kehamilan. Jika ini dapat dilihat pada carta BBT anda, segera dapatkan pandangan doktor berdasarkan carta BBT tersebut.
Kami berharap agar tidak ada yang akan bertanya melalui email terhadap bentuk2 carta BBT anda kerana adalah mustahil untuk dibuat sebarang analisa terhadap carta BBT hanya melalui email. Buatlah satu temujanji bagi satu sesi konsultasi profesional oleh doktor. Usaha anda untuk membuat catatan BBT setiap hari sangat membantu doktor untuk membuat diagnosis lanjut terhadap keadaan kesuburan anda. Mereka akan membuat ujian lanjutan yang lebih tepat bagi pengesahan.
Penutup
Kami tidak akan menyentuh tentang sebarang kaedah rawatan kerana penulisan ini hanya khusus bagi mengesan ‘Gangguan Fasa Luteal. Tapi apa yang penting, adalah Gangguan Fasa Luteal ini biasanya boleh dirawat.
Kesimpulannya, inilah diantara kelebihan catatan BBT walaupun kaedah ini agak kuno, rumit dan leceh berbanding kaedah LH kit ataupun OPK(Ovulation Prediction Kit) yang dkesan berdasarkan hormon LH. Kelemahan kit LH, ia hanya mengesan peningkatan aras hormon LH, tetapi tidak dapat mengesahkan jika ovulasi benar-benar berlaku ataupun tidak. Walaubagaimanapun, ia hanyalah satu kaedah bagi mengesan tanda-tanda Gangguan Fasa Luteal. Corak carta BBT bukanlah keputusan yang muktamad bagi mana-mana masalah kesuburan. Tetapi, memandangkan ia adalah kaedah yang boleh dilakukan sendiri (DIY), maka ia boleh dijadikan sebagai satu panduan awal sebelum mendapatkan khidmat nasihat profesional dari doktor.
Di pusat-pusat rawatan kesuburan, mereka mungkin akan menggunakan kaedah-kaedah lain seperti ’Endometrial Biopsy’ yang dikatakan paling tepat bagi mengesan Gangguan Fasa Luteal.
Akhir sekali, jika anda dalam ikhtiar untuk dapat zuriat, jangan menganggap bahawa catatan BBT semata-mata untuk mengesan hari-hari subur, tetapi ia adalah sebagai sebahagian dari proses mengenali proses-proses yang berlaku dalam diri seorang wanita.
8
Nov
Sperma, Antara Fakta dan Mitos
Nov
Mitos
* Memiliki sperma yang cair sering dianggap mandul sedangkan ia tidak tepat. Sebaliknya, penghasilan sperma yang subur dan normal bergantung kepada jumlah sperma, pergerakan dan kandungan sperma normal atau tidak.
* Sperma dikatakan tidak mampu menembusi pakaian. Jawapannya, salah! Kemungkinan untuk hamil tetap ada berdasarkan kepada ukuran sel benih bersaiz mikron untuk menembusi pakaian wanita.
* Amalan makan putih telur dianggap mampu menambah kandungan sperma - ini hanyalah mitos! Ini kerana jumlah penghasilan sperma bergantung kepada saiz buah zakar. Untuk mendapatkan jumlah sperma yang mencukupi, adalah digalakkan untuk mengambil makanan bergizi dan berprotein. Secara teori, kuning telur sebenarnya lebih banyak zat berbanding putih telur!
* Ada pandangan menyebut lelaki tidak akan mengeluarkan sperma selepas proses ejakulasi. Jawapannya tidak benar! Ini kerana sperma masih boleh dikeluarkan biarpun kandungan sperma sudah berubah dan tidak banyak seperti lazim.

sperma
Fakta
* Secara purata kira-kira 100 juta sperma terkandung dalam setiap ejakulasi lelaki.
* Dalam hubungan seks, air mani diejakulasi ke hujung faraj. Sperma perlu berenang dari dalam faraj menembusi serviks (pintu rahim), merentasi ruang dalaman rahim menuju ke tiub falopio kanan dan kiri serta penghujung tiub ini untuk bertemu dengan ovum (jika ada) untuk membolehkan persenyawaan berlaku.
* Saiz buah zakar mempengaruhi bilangan sperma dan saiz melebihi 12 ml dianggarkan isi padu buah zakar yang sihat dan kurang dari itu mungkin menghasilkan kurang atau tiada sperma.
* Air mani keluar secara memancut apabila lelaki mencapai klimaks. Keadaan itu berlaku akibat proses percetusan sistem pancutan atau ejaculatory system.
* Jika ejakulasi berlaku berulang kali, ejakulasi seterusnya menyebabkan pengeluaran air mani tidak lagi memancut. Air mani hanya meleleh walaupun lelaki itu muda.
* Kandungan sperma dalam air mani ialah antara dua hingga lima peratus. Sebilangan besar isi padu air mani ialah cecair dari pundi prostat (60 hingga 70 peratus) dan yang selebihnya dari pundi seminal, pundi cowpers dan pepundi dalam salur kencing selain cecair dari pundi epididimis. Berhenti merokok dapat mengubah komposisi ini.
* Perokok tegar lebih berisiko mempunyai masalah bilangan sperma yang kurang dan peratus sperma yang bergerak juga kurang serta perlahan atau lambat.
25
Oct
Sperma Buatan Atasi Masalah Kesuburan Lelaki!!
Oct
Baru-baru ni ada satu berita yang mengejutkan, saintis telah berjaya menghasilkan sperma dari sel stem.
Suatu hari nanti, sperma dari lelaki tak perlu untuk mendapat zuriat, atau dengan kata lain, jika dunia ini dipenuhi oleh wanita sahaja tanpa seorang pun lelaki, seseorang wanita itu masih boleh mendapat zuriat dan seterusnya populasi manusia boleh terus bertambah.
Sebenarnya pernyataan adalah berdasarkan artikel terbaru dalam akbar berita harian pada minggu lepas. Berikut antara petikan artikel tersebut. Dah baca artikel nanti, teruskan baca ulasan kami dibawahnya.
Lelaki & sperma tak relevan
Oleh Fairuz Zaidan, Berita Harian, Oktober 2009
Benarkah sperma tidak lagi perlu untuk mendapatkan zuriat pada masa depan?
TEORINYA - sel stem atau sel induk daripada sumsum tulang wanita diperoleh dan diaktifkan menjadi sel embrio sebelum dimasukkan ke dalam karung telur untuk mengandungkan DNA 100 peratus sel induk.
Bayangkan, jika teori yang dikatakan sudah terbukti melalui ujian terhadap tikus di makmal ini dilakukan pula ke atas manusia atau wanita? Apa agaknya reaksi atau perdebatan di semua peringkat - termasuk kemanusiaan dan pihak berkuasa agama apabila proses pembiakan manusia mampu dilakukan dalam bilik makmal dengan mengetepikan sperma lelaki?
Apakah sudah tidak relevan lagi sperma lelaki hingga perlu dicari alternatif lain melalui bagi mendapatkan zuriat?
Biarpun penemuan baru itu dikatakan merintis usaha menangani masalah kemandulan, namun jika dilihat, langkah itu meminggirkan lelaki serta membuka prospek kelahiran bayi secara tiruan bukannya semula jadi.
Malah, pengkritik antarabangsa turut memberi amaran perkembangan terbaru itu boleh mencetuskan kontroversi seolah-olah mengetepikan fungsi sperma lelaki.
Julai lalu, akhbar tempatan melaporkan saintis di Britain mendakwa berjaya menghasilkan sperma manusia daripada sel tunjang tapi pakar lain mempertikaikannya.
Penyelidik di Universiti Newcastle dan Institut Sel Tunjang NorthEast England dilaporkan berkata, mereka menggunakan teknik baru untuk menghasilkan sel sperma daripada sel tunjang janin. Sel tunjang mempunyai potensi untuk menjadi apa juga sel di dalam tubuh.
Ketua penyelidik Newcastle, Karim Nayernia, dilaporkan berkata, teknik itu akan membolehkan penyelidik mengkaji bagaimana sperma berkembang dan kemungkinan boleh membantu dalam merawat lelaki mandul. Hasil penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal Stem Cells and Development.
Mengulas laporan kontroversi itu, Pakar Embriologi Pusat Kesuburan Konsep, Damai Service Hospital Kuala Lumpur, Dr Yee Siew Yin berkata, kajian perubatan yang menjurus kepada aspek peribadi termasuk pengklonan individu tidak seharusnya dimanipulasi.
Dr Yee berkata, penggunaan teknologi harus ada batasan melainkan benar-benar dimanfaatkan untuk penggunaan lebih berfaedah, meningkatkan taraf kesihatan dan kehidupan serta menyelamatkan nyawa manusia.
“Teknologi ini tidak harus dianggap sebagai suatu alternatif kepada wanita kerana ini melanggar etika hidup manusia. Secara amnya, teknologi ini juga dikenali sebagai pengklonan.
“Malah, jika kita kaji kesannya, teknologi ini sebenarnya boleh disalahgunakan sesetengah pihak untuk menghasilkan klon diri dengan banyak dan mengakibatkan masalah pada masa depan,” katanya kepada XY - Ikon Lelaki.
Mengulas lanjut konsep persenyawaan di mana wanita dikatakan mampu mengandung tanpa sperma seorang lelaki, Dr Yee berkata, teknologi itu bermula dari penyelidikan ke atas haiwan dan hingga hari ini masih mencetuskan kontroversi berhubung penggunaannya ke atas manusia.
Dr Yee berkata, melalui proses semula jadi, persenyawaan pembentukan embrio memerlukan telur wanita dan sperma lelaki disenyawakan.
“Tetapi teknologi yang mencetuskan perdebatan ini hanya memerlukan sel induk yang diaktifkan untuk menjadi embrio dan dimasukkan ke dalam karung telur wanita tanpa sperma lelaki,” katanya.
Ditanya kesan positif dan kebaikan ujian yang didakwa Karim itu, Yee berkata, ia mampu memberi manfaat kepada masyarakat terutama pesakit dan mungkin boleh diaplikasikan untuk menghasilkan organ-organ penting seperti buah pinggang, jantung dan mata.
Namun, Dr Yee tidak menolak kesan buruk seperti kaedah rawatan disalahgunakan pihak tertentu kerana didorong sikap tamak.
“Teknologi masa depan seharusnya boleh menghasilkan sperma lelaki terutama dalam keadaan di mana seseorang lelaki itu tidak dapat menghasilkan sperma secara semula jadi. Sperma lelaki yang dihasilkan daripada sel induk lelaki ini boleh digunakan untuk perubatan kaedah in vitro fertilisation (IVF),” katanya.
Bercanggah dengan konteks Islam
PENGKLONAN manusia tanpa proses persenyawaan secara semula jadi adalah di luar sifat semula jadi manusia dan batas agama. Islam sebagai agama suci menolak sama sekali proses yang tidak membabitkan perhubungan halal antara suami dan isteri.
Penceramah bebas dan perunding motivasi, Prof Madya Dr Md Izuddin Ali berkata, perlumbaan teknologi perubatan dalam mencipta penemuan baru secara tidak langsung merosakkan institusi kekeluargaan serta melumpuhkan peranan lelaki dan wanita untuk saling melengkapi sebagai pasangan suami isteri.
“Konsep yang cuba dibawa ini tentunya mencetuskan pertikaian dan menjadi isu sensitif terutama kepada Majlis Fatwa Kebangsaan. Secara peribadi, saya sendiri tidak bersetuju dengan proses kelahiran tanpa konsep suami dan isteri yang secara tidak langsung, merosakkan institusi perkahwinan itu sendiri,” katanya.
Dr Izuddin berkata, sebuah keluarga harus dibina berlandaskan peranan lelaki dan wanita yang mewujudkan ikatan perkahwinan yang sah bagi melahirkan lebih ramai zuriat. Ini dilakukan dengan cara yang normal dan melalui proses semula jadi.
Beliau berkata, sebagai umat Islam, perkahwinan adalah sesuatu yang dialu-alukan bagi mereka yang layak dan berkemampuan.
“Nabi Muhammad SAW juga berkahwin dan janganlah pula kita mengenepikan institusi perkahwinan untuk mendapatkan zuriat dalam cara berbeza. Perlulah wanita memiliki anak melalui proses yang sah dan berkahwin untuk mengecapi nikmat hidup berumah tangga,” katanya.
Ditanya apakah alternatif bagi pasangan berumah tangga yang masih belum mendapat cahaya mata, Md Izuddin berkata, Islam tidak sesekali menyekat pasangan berkahwin mengambil anak angkat sebagai jalan penyelesaian memiliki anak.
Namun, katanya, umat Islam tidak harus berputus asa dan berdoa selain melakukan pelbagai alternatif dan rawatan bagi memiliki cahaya mata sendiri.
“Ada pendapat mengatakan pasangan yang lewat mendapat cahaya mata digalak mengambil anak angkat. Langkah ini dikatakan membuka laluan memiliki anak sendiri.
“Pastikan kita sentiasa menjaga aurat dan memelihara kelakuan tanpa sesekali mengambil mudah soal perhubungan dalam pergaulan sehari-hari,” katanya.
Berikut adalah rakaman video dari temubual dengan Saintis tersebut dan ulasan beberapa saintis yang lain.
http://www.youtube.com/watch?v=4fIQCMQzSvc
Ulasan Saya:
Sebenarnya, kaedah yang mereka gunakan ini dikenali sebagai ‘pengklonan’. Isu pengklonan pernah menggemparkan sejarah dunia pada tahun 1997 apabila seorang Saintis dari Roslin Institute, Scotland mendedahkan kejayaan mereka mengklonkan seekor biri-biri yang diberi nama ‘Dolly’.


klon dolly
Isu ini hangat dibincang di seluruh dunia termasuk di Malaysia khususnya dari segi etika dan kemanusiaan. Apa yang sangat membimbangkan pada masa itu adalah kejayaan saintis mengklonkan organisma kompleks seperti biri-biri yang membayangkan bahawa manusia juga boleh diklonkan.

Pada ketika itu saya adalah merupakan pelajar tahun akhir di Jabatan Genetik dan Biologi Sel di Univ. Malaya dan kebetulan pula tesis saya pada ketika itu adalah berkenaan dengan DNA dan biri-biri. Maka saya juga dihujani dengan soalan-soalan dari ‘ustaz-ustaz’ atau pelajar-pelajar jurusan Usuluddin dan Syariah dari UM berkaitan dengan isu etika dan persoalan agama.
Pengklonan adalah merupakan suatu perkara biasa dan digunakan dengan meluas sejak berpuluh-puluh tahun dahulu, tetapi ia hanya melibatkan organisma-organisma ringkas seperti bakteria dan virus. Contohnya dalam penghasilan hormon insulin yang digunakan untuk merawat pesakit kencing manis, hormon insulin ini dihasilkan dari proses pengklonan bakteria yang telah diselitkan dengan gen yang mengawal penghasilan insulin manusia. Jadi, ia bukan satu masalah atau satu isu yang besar.
Tetapi, bila proses pengklonan berlaku kepada organisma yang lebih kompleks, ia mula menimbulkan kebimbangan kerana ia hanya tinggal satu langkah sahaja lagi kepada proses pengklonan manusia.

Balik kepada cerita ‘Dolly’ tadi, ‘dolly’ telah menghabiskan seluruh usianya di Roslin Institute sebagai bahan kajian. Kemudian ‘Dolly’ bertemu jodoh dengan biri-biri baka ‘welch mountain’ dan berjaya menghasilkan 6 zuriat bernama Bonnie, Sally, Rosie dan seterusnya kembar tiga iaitu Lucy, Darcy dan Cotton.
Pada tahun 2001 pada usia 5 tahun, Dolly mula mengidap arhritis. Pada 2003, Dolly mula menghadapi masalah paru-paru dengan arthritis yang semakin serius. Biri-biri berbaka Finn Dorset seperti Dolly biasanya mempunyai jangkahayat normal sehingga 11-12 tahun, namun Dolly ‘meninggal dunia’ ketika berumur 6 tahun.
Ini menimbulkan perdebatan di kalangan saintis. Saintis-saintis di Roslin Istitute menafikan kematian Dolly ada kaitan dengan proses pengklonan manakala terdapat satu teori dari saintis-saintis lain bahawa walaupun usia Dolly adalah 6 tahun, tetapi genetiknya adalah berusia 12 tahun kerana Dolly dihasilkan dari sel stem biri-biri berusia 6 tahun. Ini dikuatkan lagi dengan hasil dapatan bahawa telomere pada DNA dolly adalah lebih pendek dari biasa.
Cerita Dolly ni panjang lagi, takut off topik pulak, kita berbalik kepada cerita sperma buatan tadi.
Prosesnya lebih kurang sama, iaitu penghasilan sperma dari sel stem. Ini juga merupakan pengklonan dan apa yang mengejutkan, ia melibatkan sperma, titik mula seorang manusia. Kami ringkaskan dalam bentuk fakta perkara-perkara yang membimbangkan yang mungkin timbul dari kajian terbaru ini.
1) Oleh kerana ia melibatkan sperma, titik mula manusia, maka pengklonan manusia sudah mula terbayang di hadapan mata kita.
2) Jika dunia ini dipenuhi wanita, tanpa seorang pun lelaki, maka proses perkembangan populasi masih boleh terus berlaku.
3) Pasangan lesbian dan golongan feminist pasti menyambut berita ini dengan gembira.
4) Wujudnya bayi-bayi yatim, real punya yatim iaitu tanpa bapa.
5) Sebenarnya saintis-saintis yang sama ini juga telah berjaya menghasilkan sel sperma tikus dengan teknik yang sama 5 tahun lalu dan menghasilkan beberapa anak tikus dari sperma tersebut, tetapi semuanya tidak mempunyai jangkahayat yang panjang dengan pelbagai komplikasi seperti masalah paru-paru dan macam-macam lagi. Kesemua anak-anak tikus tersebut hidup paling lama 5 bulan berbanding jangkahayat normal 2 tahun. Bagaimana pula dalam manusia? Sama-sama kita fikirkan.
Kesimpulan:
Apa kegunaan kajian ini? Meraka mendakwa bahawa tujuan kajian ini dilakukan untuk mengatasi masalah ketidaksuburan lelaki?
Memang masalah ketidaksuburan lelaki agak sukar dirawat berbanding dengan ketidaksuburan wanita. Contohnya kes-kes seperti Azoospermia dimana atas sebab-sebab tertentu, seseorang lelaki tersebut didapati tidak mempunyai kandungan sperma dalam air maninya. Jika di barat, keadaan ini diatasi dengan menggunakan sperm donor, tapi anak tu bukan membawa gen lelaki tersebut. Maka dengan penemuan terbaru ini, seseorang lelaki itu tetap dapat menghasilkan sperma secara buatan iaitu yang dihasilkan dari sel stem beliau sendiri.
Setakat ini masih belum ada bayi yang lahir dari sperma buatan ini, tetapi mana-mana bayi yang pertama lahir dengan kaedah ini pasti menjadi bahan eksperimen sepanjang hayatnya dan besar kemungkinan banyak komplikasi-komplikasi kesihatan yang akan dihadapinya.
Nabi s.a.w tidak menggalakkan kita berkahwin dari kalangan ahli keluarga terdekat kerana ia akan menghasilkan baka yang lemah. Sedangkan tumbuhan dari pendebungaan sendiri dan pendebungaan kacukan pun berbeza kualiti, apatah lagi seorang manusia yang terhasil dari ’sel tulang belakangnya’ sendiri.
19
Oct
‘Non Stick Cookware’ Penyebab Ketidaksuburan
Oct
Menurut satu kajian yang dijalankan di UCLA Schools of Public Health telah mendapati 2 jenis bahan kimia yang boleh dikaitkan dengan ketidaksuburan di kalangan wanita. Bahan-bahan kimia tersebut adalah perfluorooctanoate (PFOA) dan perfluorooctane sulfonate (PFOS) yang biasa terkandung dalam produk-produk kegunaan harian seperti produk penjagaan diri, pakaian, karpet, kuali dan juga biasa digunakan dalam proses pembungkusan makanan.

Struktur Kimia PFOA
Kajian ini telah diterbitkan dalam sebuah jurnal perubatan, Human Reproduction. Kajian tersebut mendapati bahawa wanita yang mengandungi aras PFOA dan PFOS yang tinggi dalam darah akan mengambil masa yang lebih lama untuk hamil.
Para pengkaji tersebut telah memperolehi data dari Danish National Birth Cohort yang melibatkan 1,240 wanita. Mereka membuat rumusan bahawa kedua-dua bahan kimia tersebut akan meningkatkan kebarangkalian untuk gagal hamil diantara 60%-150%.
http://www.ivfnewsdirect.com/?p=219

Menurut Jorn Olsen, dari jabatan epidemiologi UCLA Schools of Public Health, ini merupakan kajian pertama terhadap perkaitan antara PFOA dan PFOS dan ketidaksuburan. Mereka akan membuat kajian selanjutnya untuk mengesahkan lagi perkara ini.
Mereka juga percaya bahawa PFC ini juga memberi kesan terhadap kualiti sperma. Oleh itu, kajian terhadap lelaki juga perlu dilakukan kerana lelaki juga terdedah kepada kesan PFC ini memandangkan pasangan suami isteri akan menjalani gaya hidup yang sama dan sama-sama terdedah kepada risiko PFC.
Walaubagaimanapun, mereka masih belum jelas bagaimana mekanisme biologi yang terlibat dalam PFOS dan PFOA yang memberi kesan terhadap kesuburan. Adalah dipercayai bahawa PFC mungkin akan mempengaruhi hormon-hormon reproduktif.
Apakah PFOA dan PFOS?
PFOA dan PFOS adalah jenis toksin yang dikategorikan sebagai Perfluourinated Chemicals(PFC). Kedua-duanya dianggap sebagai tidak aktif secara biologi, namun kajian terkini tentang kesannya terhadap haiwan telah menunjukkan bahawa ia juga mempunyai kesan toksik terhadap hati, sistem imun dan sistem reproduktif.
Menurut anggaran U.S. Environmental Protection Agency (EPA), 90% populasi di US mengandungi PFOA dalam darah mereka dan sebahagian kecil dari mereka yang mengandungi aras PFOA yang tinggi biasanya adalah pekerja-pekerja kilang yang berhubungan secara langsung dengan bahan-bahan ini.
Manakala The National Center for Health Statistics (NCHS) melaporkan bahawa pada 2002 terdapat 7.3 juta wanita Amerika yang berumur diantara 15-44 tahun mengalami masalah kesuburan.
Adakah kedua-dua laporan ini mempunyai perkaitan? Mungkinkah ini yang menjadi punca kepada peningkatan masalah kesuburan yang mana selama ini pakar-pakar perubatan mengistilahkan perkara ini sebagai ’Unexplained Infertility’?
PFOA dan PFOS ini adalah bahan sintetik. Bagaimana ia boleh berada dalam darah?
Pada 1947, syarikat3M yang mula-mula menghasilkan PFOA melalui kaedah elecrochemical fluorination. Manakala pada 1951, DuPont mula menggunakan PFOA dalam proses pengeluaran. PFOA adalah bahan penting dalam proses penghasilan Teflon, hasil ciptaan syarikat DuPont yang telah mendapat berbagai anugerah. Apa itu Teflon? Teruskan membaca.
DuPont telah mendapat saman dari U.S. Environmental Protection Agency kerana telah menjadi punca pencemaran PFOA dalam bekalan air.
Isu pencemaran PFOA dalam bekalan air ini sangat membimbangkan di US.
Tapi itu di US, bagaimana pula di negara-negara lain.
Didapati bahawa bekalan air Jepun juga tergugat.
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/14960830
Begitu juga dengan beberapa negara lain.
Tapi, bagaimana pula dengan negara kita, Malaysia? Adakah kita juga terdedah dengan risiko ini? Adakah terdapat sebarang kajian pernah dilakukan?
Sebenarnya ada. Terdapat satu kajian telah dijalankan dimana 473 sampel darah telah diambil dari beberapa buah negara iaitu US, Colombia, Brazil, Belgium, Italy, Poland, India, Korea dan Malaysia.
Mereka mendapati bahawa kandungan PFOS paling banyak didapati dari sampel-sampel darah dari US dan Poland. Manakala ia dalam kuantiti sederhana bagi Korea, Belgium, Brazil, Italy, Colombia dan Malaysia. India pula menunjukkan kandunagn PFOS yang rendah dalam darah.
http://pubs.acs.org/doi/abs/10.1021/es0493446
Tetapi kami tak pasti adakah bekalan air di negara kita juga tercemar dengan PFOA? Mungkin setelah membaca artikel ini, bagi mereka yang belum ada penapis air, boleh mula mengumpul duit bagi beberapa bulan yang akan datang untuk mendapatkan penapis-penapis air dari mana-mana pasaraya atau syarikat jualan langsung. Mereka mendakwa bahawa penapis air mereka boleh menapis segala bahan-bahan kimia ini.
Jadi, apa itu teflon?
Teflon mengandungi PFC dan ia digunakan sebagai lapisan dalam produk-produk kuali tak melekat atau ’non stick cookware’. Jadi, adakah ia merbahaya dan menjadi punca pencemaran PFC dalam darah kita? Panjang ceritanya tu, klik link di bawah untuk maklumat lanjut.
http://tuberose.com/Teflon.html

Sehingga kini, DuPont tetap menafikan bahawa teflon merbahaya kepada kesihatan. Biasalah, bisnes.
Mungkin ada yang akan bertanya, ‘macam mana nak elakkan diri dari perkara ini?’. Itu adalah satu persoalan yang sukar dijawab kerana gaya hidup moden yang telah kita lalui sejak sekian lama sudah terlalu sebati dalam diri kita.
Jadi, sebagai langkah pertama yang boleh kita ambil antaranya adalah dapatkan penapis air(mudah-mudahan ia dapat menapis bahan-bahan toksik seperti yang didakwa syarikat pengeluar) dan kalau menggoreng ikan tu, pastikan minyaknya betul-betul panas sebelum letakkan ikan di kuali supaya ikan tu tak melekat di kuali. Jadi tak perlulah beli kuali yang ’mahal’ tu.
Selain dari kesan keatas ketidaksuburan, mungkinkah bahan-bahan toksik lain yang terkandung dalam pemakanan kita hari ini juga merupakan penyebab kepada penyakit-penyakit moden yang lain seperti kanser yang mana sehingga hari ini tidak dapat dipastikan lagi punca-punca sebenarnya.
17
Sep
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Sep
Salam Ramadan,.
Kami ingin membat sedikit imbasan terhadap ‘projek MudahHamil.com’ dalam bentuk kronologi
Oktober 2008
Laman mudahhamil.com diwujudkan dengan menyebarkan report percuma ‘Mengesan Kesuburan Dengan Kaedah BBT’.
Mac 2009
Blog Rahsia Mudah Hamil diwujudkan.
Jun 2009
Ebook ‘Rahsia Mudah Hamil’ dilancarkan.
Ogos 2009
Blog ‘Rahsia Mudah Hamil’ berwajah baru dengan design theme custom made oleh seorang wp theme designer tempatan iaitu Bro Kodin
2010?
Tunggu kemunculan Ebook kedua kami tentang kesuburan. Target kami untuk menyiapkannya pada 2009 nampak macam tersasar sedikit. Sama seperti Ebook Rahsia Mudah Hamil dulu, bukannya ia tak boleh disiapkan awal, tetapi kami ingin berikan yang terbaik kepada anda. Mereka yang telah membaca Ebook Rahsia Mudah Hamil pasti tahu bahawa isi kandungannya bukanlah suatu bentuk penulisan yang dihasilkan dengan tergesa-gesa.
Sehubungan dengan itu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pembaca-pembaca blog ini yang selama ini sentiasa memberikan sokongan buat kami untuk meneruskan usaha kami yang tidak seberapa ini.
Bulan depan (Oktober 2009), mudahhamil.com insyaallah akan berusia setahun. Namun banyak kelemahan-kelemahan kami dalam menyampaikan ilmu-ilmu yang berguna kepada anda. Oleh itu, jika ada mana-mana tulisan kami yang menyebabkan anda tersingung atau terasa hati sama ada melalui blog, email ataupun ebook, kami ingin mengambil peluang di Hari Yang Mulia ini untuk Memohon Ribuan Kemaafan daripada anda.
Kami ucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin.

Kad Raya





