Archive for the ‘Kaedah BBT’ Category

7
Mar
Soal Selidik Kaedah BBT

Salam,

Alhamdulillah, dari hari-ke hari, bilangan pelawat ke laman www.MudahHamil.com dan juga blog ini sentiasa meningkat. Maka kami ingin mengambil kesempatan ini untuk buat soal selidik yang sangat penting tentang tahap pengetahuan anda tentang kesuburan.

Saya yakin, sebahagian besar dari anda sudah baca report ‘Mengesan Kesuburan Dengan Kaedah BBT’.

Oleh itu, kami ingin meminta jasa baik daripada pelawat-pelawat blog ini untuk meluangkan masa beberapa saat (rasanya tak sampaipun seminit) untuk mengambil bahagian dalam kaji selidik ini.

Sila Lihat ‘Side Bar’ untuk ‘poll’ ===================================>>>


Jutaan terima kasih atas kesudian anda untuk meluangkan sedikit masa.

Share/Save/Bookmark

12
Feb
Carta BBT dan Gangguan Fasa Luteal

Artikel ini adalah merupakan suatu lanjutan kepada report ‘Mengesan Kesuburan Dengan Kaedah BBT’. Post ini lebih mudah difaham oleh mereka yang telah mula menjadikan aktiviti mencatat BBT sebagai rutin harian mereka. Mudah-mudahan artikel ini bermanafaat.

Apa Itu Fasa Luteal

Suatu kitar haid terbahagi kepada dua fasa.

1. Fasa Folikel – Bermula dari hari pertama haid hingga ovulasi

2. Fasa Luteal – Selepas ovulasi sehingga haid berikutnya

Oleh itu, pemisah antara fasa folikel dan fasa luteal adalah haid dan ovulasi.

Fasa selepas ovulasi dikenali sebagai fasa luteal kerana setelah ovulasi, korpus luteum mula menghasilkan hormon progesteron. Hormon progesteron adalah dominan pada fasa luteal. Ketika aras progesteron ini tinggi, suhu badan akan meningkat dan seterusnya lapisan endometrium dibina sebagai persediaan proses penempelan jika telur berjaya disenyawakan. Lapisan endometrium ini memainkan peranan penting bagi pertumbuhan janin dalam rahim. Oleh itu, jika seseorang wanita tersebut hamil, disebabkan aras Progesteron yang tinggi, suhu badan akan kekal tinggi sebagai inkubator terhadap janin yang terbentuk. Kitar haid akan tertangguh sehingga habis tempoh kehamilan.

Jika tiada persenyawaan berlaku, lapisan endometrium yang dipenuhi dengan saluran darah ini akan runtuh, maka darah bersama-sama dengan kandungan dinding endometrium yang runtuh ini akan keluar sebagai darah haid.

Fasa luteal juga dikenali sebagai Days Past Ovulation (DPO), Tempohnya adalah sekitar 12-14 hari.


Fakta Penting Tentang Fasa Luteal

Fasa folikel adalah tidak tetap kerana ia bergantung kepada bila berlakunya ovulasi manakala ovulasi pula boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti stress, pengambilan ubat-ubatan, peningkatan aktiviti-aktiviti harian dan faktor-faktor lain. Jika proses ovulasi terganggu, maka tempoh fasa folikel juga berubah.

Tempoh fasa luteal pula adalah sangat tetap bagi seseorang individu, jika ada perubahan pun tak lebih dari 1 hari.

Berikut adalah suatu ’misconception’ bagi seseorang wanita yang mengunakan kaedah kalendar bagi mengira hari-hari subur iaitu mereka kira dari ’depan’ iaitu dari fasa folikel sedangkan fasa folikel boleh berubah-ubah. Sebaliknnya, pengiraan hari ovulasi dan hari-hari subur ini sepatutnya dikira dari ’belakang’ atau dari fasa luteal ini.

Dengan mengambil kira fakta ini, kita boleh kesan waktu ovulasi dalam sesuatu kitar haid dengan formula berikut:

Tempoh Kitar Haid – Tempoh Fasa Luteal.

Contoh:

Tempoh Kitar Haid = 28 hari

Tempoh Fasa Luteal =12 Hari

Ovulasi : 28-12=16

Oleh itu, ovulasi akan berlaku pada hari ke 16 bagi kitar haid wanita ini.

Formula inilah yang digunakan oleh mana-mana Kalendar Ovulasi bagi mengesan hari-hari subur. Dalam ebook Rahsia Mudah Hamil, kami ada terangkan bagaimana untuk mengesan hari-hari subur berdasarkan Kaedah Kalendar ini dengan lebih detail dengan bantuan satu gambarajah khas. Hanya rujuk gambarajah tersebut sahaja dah boleh tahu bila hari subur tanpa perlu kira-mengira seperti di atas.

Bagaimana Mengesan Fasa Luteal dari carta BBT?

Fasa Luteal = bermula dari Ovulasi hingga Hari pertama Haid.

Bagaimana untuk kesan tempoh fasa luteal ini melalui carta BBT? Rujuk gambarajah di bawah.


Berdasarkan rajah di atas,

Tempoh kitar haid wanita ini = 28 hari.

Ovulasi berlaku pada = hari ke 14

Tempoh fasa luteal adalah = 14 hari


Apa Itu Gangguan Fasa Luteal?

Bagi kebanyakan wanita, fasa luteal adalah sekitar 14 hari, bahkan mungkin juga bagi sesetengah wanita sehingga 17 hari. Keadaan ini adalah normal.

Seseorang itu dikatakan mengalami Gangguan Fasa Luteal jika fasa lutealnya menjadi pendek dan haid akan berlaku lebih cepat setelah ovulasi. Atau lebih tepat lagi, seseorang itu dikatakan mengalami Gangguan Fasa Luteal jika didapati fasa lutealnya adalah 10 hari atau kurang.

Berikut adalah definisi ‘Luteal Phase Defects’ yang kami dapat dari laman MediLexicon iaitu sebuah laman web yang memnyediakan servis ‘Online Medical Dictionary’.

inadequate secretion of progersterone during the luteal phase of the menstrual cycle, with resultant infertility

(Satu keadaan dimana kekurangan rembesan hormon Progesteron ketika fasa luteal dalam sesuatu kitar haid yang mengakibatkan ketidaksuburan). Wanita yang mengalami Gangguan Fasa Luteal tidak dapat menghasilkan hormon Progesteron yang mencukupi ketika Fasa Luteal. Oleh itu, dinding endometrium tidak bersedia sepenuhnya untuk proses penempelan dan pembentukan janin.

Bagaimana Mengesan Gangguan Fasa Luteal dari Carta BBT?

Kita dapat mengesan Gangguan Fasa Luteal ini melalui carta BBT, iaitu jika jarak diantara ovulasi dan haid seterusnya adalah 10 hari atau kurang. Fasa luteal ini mestilah lebih dari 10 hari bagi menyokong kehamilan. Jika ini dapat dilihat pada carta BBT anda, segera dapatkan pandangan doktor berdasarkan carta BBT tersebut.

Kami berharap agar tidak ada yang akan bertanya melalui email terhadap bentuk2 carta BBT anda kerana adalah mustahil untuk dibuat sebarang analisa terhadap carta BBT hanya melalui email. Buatlah satu temujanji bagi satu sesi konsultasi profesional oleh doktor. Usaha anda untuk membuat catatan BBT setiap hari sangat membantu doktor untuk membuat diagnosis lanjut terhadap keadaan kesuburan anda. Mereka akan membuat ujian lanjutan yang lebih tepat bagi pengesahan.

Penutup

Kami tidak akan menyentuh tentang sebarang kaedah rawatan kerana penulisan ini hanya khusus bagi mengesan ‘Gangguan Fasa Luteal. Tapi apa yang penting, adalah Gangguan Fasa Luteal ini biasanya boleh dirawat.

Kesimpulannya, inilah diantara kelebihan catatan BBT walaupun kaedah ini agak kuno, rumit dan leceh berbanding kaedah LH kit ataupun OPK(Ovulation Prediction Kit) yang dkesan berdasarkan hormon LH. Kelemahan kit LH, ia hanya mengesan peningkatan aras hormon LH, tetapi tidak dapat mengesahkan jika ovulasi benar-benar berlaku ataupun tidak. Walaubagaimanapun, ia hanyalah satu kaedah bagi mengesan tanda-tanda Gangguan Fasa Luteal. Corak carta BBT bukanlah keputusan yang muktamad bagi mana-mana masalah kesuburan. Tetapi, memandangkan ia adalah kaedah yang boleh dilakukan sendiri (DIY), maka ia boleh dijadikan sebagai satu panduan awal sebelum mendapatkan khidmat nasihat profesional dari doktor.

Di pusat-pusat rawatan kesuburan, mereka mungkin akan menggunakan kaedah-kaedah lain seperti ’Endometrial Biopsy’ yang dikatakan paling tepat bagi mengesan Gangguan Fasa Luteal.

Akhir sekali, jika anda dalam ikhtiar untuk dapat zuriat, jangan menganggap bahawa catatan BBT semata-mata untuk mengesan hari-hari subur, tetapi ia adalah sebagai sebahagian dari proses mengenali proses-proses yang berlaku dalam diri seorang wanita.

Share/Save/Bookmark

1
May
Carta BBT rumit dan menyusahkan! Bagaimana untuk atasinya?

Di barat, mencatat suhu badan asas dianggap mesti oleh kebanyakan komuniti yang mengalami ketidaksuburan. Seseorang doktor mungkin akan mencadangkan anda supaya membuat catatan BBT untuk memastikan hubungan kelamin dilakukan pada masa yang sesuai untuk hamil. Carta BBT juga boleh menjadi satu diagnosis awal untuk memastikan sama ada anda mengalami ovulasi atau tidak. Jika anda dapati bahawa anda tidak mengalami ovulasi, anda perlu untuk membawa carta itu bersama ke mana-mana doktor untuk mendapat khidmat nasihat lanjutan.


Carta BBT adalah suatu kaedah untuk mengesan ovulasi yang memerlukan anda membuat catatan setiap awal pagi dan mencatat keputusannya pada suatu carta. Ia adalah kaedah yang mudah dan murah untuk mengesan ovulasi. Ia jauh lebih murah berbanding menggunakan mana-mana kit kesuburan yang dijual di pasaran walaupun ia lebih mudah dari kaedah BBT.

Walaubagaimanapun, bagi sesetengah wanita, mencatat carta BBT adalah sesuatu yang rumit dan menyusahkan. Berikut adalah antara beberapa kerumitan yang mungkin timbul sepanjang proses mencatat BBT

1)Kerumitannya bermula apabila seseorang itu cuba untuk memahami cara untuk mencatatnya ke dalam carta. Kami telah cuba membantu dengan mengeluarkan panduan yang menerangkan kaedah-kaedah untuk mencatat BBT ini dengan terperinci dengan bahasa yang mudah. Anda sudah baca report ’Mengesan Kesuburan Dengan Kaedah BBT’ bukan? Jika anda masih belum membacanya, sila klik DI SINI. Itupun masih terdapat keluhan dari sesetengah pembaca yang mereka masih keliru dengan prosesnya.

2)Kerumitan yang seterusnya adalah dari segi disiplin. Oleh kerana proses ini akan menjadi rutin harian seseorang, mungkin ia akan menjadi suatu yang membebankan dan mungkin juga sesekali terlupa untuk mendapatkan bacaannya pada hari-hari tertentu.

3)Seterusnya bila carta sudah lengkap, proses mentafsir maklumat dari carta sekali lagi akan menimbulkan masalah. Jika carta itu berbentuk ’skema’ seperti yang diterangkan dalam panduan, ia tidak akan menjadi masalah. Tetapi masalah timbul jika terdapat catatan-catatan diluar jangkaan. Contohnya mungkin seseorang akan keliru jika terdapat kenaikan suhu kali kedua dalam sesuatu kitar haid. (’Triphasic Patern’). Apa itu ’Triphasic Patern’? Jangan risau, kami akan membuat satu penulisan khas tentangnya dalam blog ini. Ia adalah suatu maklumat yang sangat menarik untuk dikongsi bersama.

Penyelesaiannya:

1)Kami sudah cuba sebaik mungkin untuk menerangkan langkah demi langkah. Jika anda sudah baca sekali tetapi masih tak jelas, cuba baca beberapa kali dengan lebih teliti. Kau perlu, cetak report ’Mengesan Kesuburan Dengan Kaedah BBT’ itu kerana membaca melalui komputer tidak sama dengan membaca melalui ’print out’.

2)Masalah disiplin. Yang ni bergantung kepada kesungguhan masing-masing. Kalaulah betul-betul anda inginkan cahayamata, kenalah berusaha dengan bersungguh-sungguh sedikit. Orang lain mungkin akan dapat hamil dengan mudah. Satu demi satu zuriat lahir tanpa sebarang masalah. Tetapi anda mungkin Tuhan nak uji sikit. Mungkin kena bersabar dan berikhtiar lebih sedikit sebelum berjaya. Sesuatu yang didapati dengan susah payah lebih bernilai dan bermakna. Ia akan lebih dihargai. Jadi, anda perlu berdisiplin sekurang-kurangnya untuk selama 3-4 bulan. Sekurang-kurangnya catatan selama 3-4 bulan itu akan menjadi panduan yang sangat berguna untuk doktor mencadangkan proses rawatan seterusnya untuk anda. Anda perlu tahu bahawa carta BBT anda itu tersembunyi berbagai maklumat penting tentang kondisi kesuburan anda.

3)Jika anda perlukan bantuan untuk mentafsir maklumat dari carta BBT, kami nasihatkan agar anda korbankan RM30-RM50 untuk kos konsultasi dari mana-mana doktor. Biasanya anda hanya dikategorikan sebagai golongan yang mengalami masalah ketidaksuburan jika gagal hamil setelah setahun mencuba. Doktor hanya akan memberi diagnosis dan rawatan setelah setahun. Tetapi jika anda dapat mengesan sebarang masalah pada diri anda lebih awal melalui kaedah BBT ini, sekurang-kurangnya tindakan awal dapat diambil.

Sebenarnya kaedah BBT adalah sangat berguna. Anda akan menerokai dan memerhati dengan teliti apa yang berlaku pada diri anda melalui catatan suhu badan. Walaupun terdapat kaedah yang yang lebih mudah, kami nasihatkan agar anda kekal dengan kaedah BBT ini. Selamat mencuba.

Share/Save/Bookmark

Ebook Percuma
Ebook Rahsia Mudah Hamil
Soal Selidik Kaedah BBT
Ovulation Calculator
Like FB FanPage
wordpress stats plugin