25
Oct
Sperma Buatan Atasi Masalah Kesuburan Lelaki!!

Baru-baru ni ada satu berita yang mengejutkan, saintis telah berjaya menghasilkan sperma dari sel stem.

Suatu hari nanti, sperma dari lelaki tak perlu untuk mendapat zuriat, atau dengan kata lain, jika dunia ini dipenuhi oleh wanita sahaja tanpa seorang pun lelaki, seseorang wanita itu masih boleh mendapat zuriat dan seterusnya populasi manusia boleh terus bertambah.

Sebenarnya pernyataan adalah berdasarkan artikel terbaru dalam akbar berita harian pada minggu lepas. Berikut antara petikan artikel tersebut. Dah baca artikel nanti, teruskan baca ulasan kami dibawahnya.

Lelaki & sperma tak relevan
Oleh Fairuz Zaidan, Berita Harian, Oktober 2009

Benarkah sperma tidak lagi perlu untuk mendapatkan zuriat pada masa depan?

TEORINYA – sel stem atau sel induk daripada sumsum tulang wanita diperoleh dan diaktifkan menjadi sel embrio sebelum dimasukkan ke dalam karung telur untuk mengandungkan DNA 100 peratus sel induk.

Bayangkan, jika teori yang dikatakan sudah terbukti melalui ujian terhadap tikus di makmal ini dilakukan pula ke atas manusia atau wanita? Apa agaknya reaksi atau perdebatan di semua peringkat – termasuk kemanusiaan dan pihak berkuasa agama apabila proses pembiakan manusia mampu dilakukan dalam bilik makmal dengan mengetepikan sperma lelaki?

Apakah sudah tidak relevan lagi sperma lelaki hingga perlu dicari alternatif lain melalui bagi mendapatkan zuriat?

Biarpun penemuan baru itu dikatakan merintis usaha menangani masalah kemandulan, namun jika dilihat, langkah itu meminggirkan lelaki serta membuka prospek kelahiran bayi secara tiruan bukannya semula jadi.

Malah, pengkritik antarabangsa turut memberi amaran perkembangan terbaru itu boleh mencetuskan kontroversi seolah-olah mengetepikan fungsi sperma lelaki.

Julai lalu, akhbar tempatan melaporkan saintis di Britain mendakwa berjaya menghasilkan sperma manusia daripada sel tunjang tapi pakar lain mempertikaikannya.

Penyelidik di Universiti Newcastle dan Institut Sel Tunjang NorthEast England dilaporkan berkata, mereka menggunakan teknik baru untuk menghasilkan sel sperma daripada sel tunjang janin. Sel tunjang mempunyai potensi untuk menjadi apa juga sel di dalam tubuh.

Ketua penyelidik Newcastle, Karim Nayernia, dilaporkan berkata, teknik itu akan membolehkan penyelidik mengkaji bagaimana sperma berkembang dan kemungkinan boleh membantu dalam merawat lelaki mandul. Hasil penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal Stem Cells and Development.

Mengulas laporan kontroversi itu, Pakar Embriologi Pusat Kesuburan Konsep, Damai Service Hospital Kuala Lumpur, Dr Yee Siew Yin berkata, kajian perubatan yang menjurus kepada aspek peribadi termasuk pengklonan individu tidak seharusnya dimanipulasi.

Dr Yee berkata, penggunaan teknologi harus ada batasan melainkan benar-benar dimanfaatkan untuk penggunaan lebih berfaedah, meningkatkan taraf kesihatan dan kehidupan serta menyelamatkan nyawa manusia.

“Teknologi ini tidak harus dianggap sebagai suatu alternatif kepada wanita kerana ini melanggar etika hidup manusia. Secara amnya, teknologi ini juga dikenali sebagai pengklonan.

“Malah, jika kita kaji kesannya, teknologi ini sebenarnya boleh disalahgunakan sesetengah pihak untuk menghasilkan klon diri dengan banyak dan mengakibatkan masalah pada masa depan,” katanya kepada XY – Ikon Lelaki.

Mengulas lanjut konsep persenyawaan di mana wanita dikatakan mampu mengandung tanpa sperma seorang lelaki, Dr Yee berkata, teknologi itu bermula dari penyelidikan ke atas haiwan dan hingga hari ini masih mencetuskan kontroversi berhubung penggunaannya ke atas manusia.

Dr Yee berkata, melalui proses semula jadi, persenyawaan pembentukan embrio memerlukan telur wanita dan sperma lelaki disenyawakan.

“Tetapi teknologi yang mencetuskan perdebatan ini hanya memerlukan sel induk yang diaktifkan untuk menjadi embrio dan dimasukkan ke dalam karung telur wanita tanpa sperma lelaki,” katanya.

Ditanya kesan positif dan kebaikan ujian yang didakwa Karim itu, Yee berkata, ia mampu memberi manfaat kepada masyarakat terutama pesakit dan mungkin boleh diaplikasikan untuk menghasilkan organ-organ penting seperti buah pinggang, jantung dan mata.

Namun, Dr Yee tidak menolak kesan buruk seperti kaedah rawatan disalahgunakan pihak tertentu kerana didorong sikap tamak.

“Teknologi masa depan seharusnya boleh menghasilkan sperma lelaki terutama dalam keadaan di mana seseorang lelaki itu tidak dapat menghasilkan sperma secara semula jadi. Sperma lelaki yang dihasilkan daripada sel induk lelaki ini boleh digunakan untuk perubatan kaedah in vitro fertilisation (IVF),” katanya.

Bercanggah dengan konteks Islam

PENGKLONAN manusia tanpa proses persenyawaan secara semula jadi adalah di luar sifat semula jadi manusia dan batas agama. Islam sebagai agama suci menolak sama sekali proses yang tidak membabitkan perhubungan halal antara suami dan isteri.

Penceramah bebas dan perunding motivasi, Prof Madya Dr Md Izuddin Ali berkata, perlumbaan teknologi perubatan dalam mencipta penemuan baru secara tidak langsung merosakkan institusi kekeluargaan serta melumpuhkan peranan lelaki dan wanita untuk saling melengkapi sebagai pasangan suami isteri.

“Konsep yang cuba dibawa ini tentunya mencetuskan pertikaian dan menjadi isu sensitif terutama kepada Majlis Fatwa Kebangsaan. Secara peribadi, saya sendiri tidak bersetuju dengan proses kelahiran tanpa konsep suami dan isteri yang secara tidak langsung, merosakkan institusi perkahwinan itu sendiri,” katanya.

Dr Izuddin berkata, sebuah keluarga harus dibina berlandaskan peranan lelaki dan wanita yang mewujudkan ikatan perkahwinan yang sah bagi melahirkan lebih ramai zuriat. Ini dilakukan dengan cara yang normal dan melalui proses semula jadi.

Beliau berkata, sebagai umat Islam, perkahwinan adalah sesuatu yang dialu-alukan bagi mereka yang layak dan berkemampuan.

“Nabi Muhammad SAW juga berkahwin dan janganlah pula kita mengenepikan institusi perkahwinan untuk mendapatkan zuriat dalam cara berbeza. Perlulah wanita memiliki anak melalui proses yang sah dan berkahwin untuk mengecapi nikmat hidup berumah tangga,” katanya.

Ditanya apakah alternatif bagi pasangan berumah tangga yang masih belum mendapat cahaya mata, Md Izuddin berkata, Islam tidak sesekali menyekat pasangan berkahwin mengambil anak angkat sebagai jalan penyelesaian memiliki anak.

Namun, katanya, umat Islam tidak harus berputus asa dan berdoa selain melakukan pelbagai alternatif dan rawatan bagi memiliki cahaya mata sendiri.

“Ada pendapat mengatakan pasangan yang lewat mendapat cahaya mata digalak mengambil anak angkat. Langkah ini dikatakan membuka laluan memiliki anak sendiri.

“Pastikan kita sentiasa menjaga aurat dan memelihara kelakuan tanpa sesekali mengambil mudah soal perhubungan dalam pergaulan sehari-hari,” katanya.

Berikut adalah rakaman video dari temubual dengan Saintis tersebut dan ulasan beberapa saintis yang lain.

http://www.youtube.com/watch?v=4fIQCMQzSvc

Ulasan Saya:

Sebenarnya, kaedah yang mereka gunakan ini dikenali sebagai ‘pengklonan’. Isu pengklonan pernah menggemparkan sejarah dunia pada tahun 1997 apabila seorang Saintis dari Roslin Institute, Scotland mendedahkan kejayaan mereka mengklonkan seekor biri-biri yang diberi nama ‘Dolly’.

klon dolly

klon dolly

Isu ini hangat dibincang di seluruh dunia termasuk di Malaysia khususnya dari segi etika dan kemanusiaan. Apa yang sangat membimbangkan pada masa itu adalah kejayaan saintis mengklonkan organisma kompleks seperti biri-biri yang membayangkan bahawa manusia juga boleh diklonkan.

Pada ketika itu saya adalah merupakan pelajar tahun akhir di Jabatan Genetik dan Biologi Sel di Univ. Malaya dan kebetulan pula tesis saya pada ketika itu adalah berkenaan dengan DNA dan biri-biri. Maka saya juga dihujani dengan soalan-soalan dari ‘ustaz-ustaz’ atau pelajar-pelajar jurusan Usuluddin dan Syariah dari UM berkaitan dengan isu etika dan persoalan agama.

Pengklonan adalah merupakan suatu perkara biasa dan digunakan dengan meluas sejak berpuluh-puluh tahun dahulu, tetapi ia hanya melibatkan organisma-organisma ringkas seperti bakteria dan virus. Contohnya dalam penghasilan hormon insulin yang digunakan untuk merawat pesakit kencing manis, hormon insulin ini dihasilkan dari proses pengklonan bakteria yang telah diselitkan dengan gen yang mengawal penghasilan insulin manusia. Jadi, ia bukan satu masalah atau satu isu yang besar.

Tetapi, bila proses pengklonan berlaku kepada organisma yang lebih kompleks, ia mula menimbulkan kebimbangan kerana ia hanya tinggal satu langkah sahaja lagi kepada proses pengklonan manusia.

Balik kepada cerita ‘Dolly’ tadi, ‘dolly’ telah menghabiskan seluruh usianya di Roslin Institute sebagai bahan kajian. Kemudian ‘Dolly’ bertemu jodoh dengan biri-biri baka ‘welch mountain’ dan berjaya menghasilkan 6 zuriat bernama Bonnie, Sally, Rosie dan seterusnya kembar tiga iaitu Lucy, Darcy dan Cotton.

Pada tahun 2001 pada usia 5 tahun, Dolly mula mengidap arhritis. Pada 2003, Dolly mula menghadapi masalah paru-paru dengan arthritis yang semakin serius. Biri-biri berbaka Finn Dorset seperti Dolly biasanya mempunyai jangkahayat normal sehingga 11-12 tahun, namun Dolly ‘meninggal dunia’ ketika berumur 6 tahun.

Ini menimbulkan perdebatan di kalangan saintis. Saintis-saintis di Roslin Istitute menafikan kematian Dolly ada kaitan dengan proses pengklonan manakala terdapat satu teori dari saintis-saintis lain bahawa walaupun usia Dolly adalah 6 tahun, tetapi genetiknya adalah berusia 12 tahun kerana Dolly dihasilkan dari sel stem biri-biri berusia 6 tahun. Ini dikuatkan lagi dengan hasil dapatan bahawa telomere pada DNA dolly adalah lebih pendek dari biasa.

Cerita Dolly ni panjang lagi, takut off topik pulak, kita berbalik kepada cerita sperma buatan tadi.

Prosesnya lebih kurang sama, iaitu penghasilan sperma dari sel stem. Ini juga merupakan pengklonan dan apa yang mengejutkan, ia melibatkan sperma, titik mula seorang manusia. Kami ringkaskan dalam bentuk fakta perkara-perkara yang membimbangkan yang mungkin timbul dari kajian terbaru ini.

1) Oleh kerana ia melibatkan sperma, titik mula manusia, maka pengklonan manusia sudah mula terbayang di hadapan  mata kita.

2) Jika dunia ini dipenuhi wanita, tanpa seorang pun lelaki, maka proses perkembangan populasi masih boleh terus berlaku.

3) Pasangan lesbian dan golongan feminist pasti menyambut berita ini dengan gembira.

http://www.thefirstpost.co.uk/50404,news-comment,news-politics,synthetic-artificial-sperm-reproduction-science-sex-men-women-feminism-eugenics-fertility

4) Wujudnya bayi-bayi yatim, real punya yatim iaitu tanpa bapa.

5) Sebenarnya saintis-saintis yang sama ini juga telah berjaya menghasilkan sel sperma tikus dengan teknik yang sama 5 tahun lalu dan menghasilkan beberapa anak tikus dari sperma tersebut, tetapi semuanya tidak mempunyai jangkahayat yang panjang dengan pelbagai komplikasi seperti masalah paru-paru dan macam-macam lagi. Kesemua anak-anak tikus tersebut hidup paling lama 5 bulan berbanding jangkahayat normal 2 tahun. Bagaimana pula dalam manusia? Sama-sama kita fikirkan.

Kesimpulan:

Apa kegunaan kajian ini? Meraka mendakwa bahawa tujuan kajian ini dilakukan untuk mengatasi masalah ketidaksuburan lelaki?

Memang masalah ketidaksuburan lelaki agak sukar dirawat berbanding dengan ketidaksuburan wanita.  Contohnya kes-kes seperti Azoospermia dimana atas sebab-sebab tertentu, seseorang lelaki tersebut didapati tidak mempunyai kandungan sperma dalam air maninya. Jika di barat, keadaan ini diatasi dengan menggunakan sperm donor, tapi anak tu bukan membawa gen lelaki tersebut. Maka dengan penemuan terbaru ini, seseorang lelaki itu tetap dapat menghasilkan sperma secara buatan iaitu yang dihasilkan dari sel stem beliau sendiri.

Setakat ini masih belum ada bayi yang lahir dari sperma buatan ini, tetapi mana-mana bayi yang pertama lahir dengan kaedah ini pasti menjadi bahan eksperimen sepanjang hayatnya dan besar kemungkinan banyak komplikasi-komplikasi kesihatan yang akan dihadapinya.

Nabi s.a.w tidak menggalakkan kita berkahwin dari kalangan ahli keluarga terdekat kerana ia akan menghasilkan baka yang lemah. Sedangkan tumbuhan dari pendebungaan sendiri dan pendebungaan kacukan pun berbeza kualiti, apatah lagi seorang manusia yang terhasil dari ‘sel tulang belakangnya’ sendiri.

Share/Save/Bookmark

One Response to “Sperma Buatan Atasi Masalah Kesuburan Lelaki!!”

Leave a Reply

Ebook Percuma
Ebook Rahsia Mudah Hamil
Soal Selidik Kaedah BBT
Ovulation Calculator
Like FB FanPage
wordpress stats plugin