Blog ‘Rahsia Mudah Hamil‘ ini dikendalikan oleh sepasang suami isteri iaitu Abu Jarir(Hariri Mustapha) & Ummu Aisyah (Iffah Mohd Diali). Abu Jarir memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Genetik. Beliau adalah bekas pelajar di Jabatan Genetik dan Biologi Sel, Fakulti Sains, Universiti Malaya. Ummu Aisyah pula adalah seorang graduan lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan pengkhususan dalam bidang ‘Food Science’. Pasangan ini telah dikurniakan dengan 5 orang cahayamata iaitu Aisyah Sofiyyah, Muhammad Jarir, Aliah Fatimah, Sarah Nabilah dan Asiah Nazihah.

Tujuan blog ini diwujudkan adalah untuk mengisi kekosongan blog-blog yang berinformatif berkaitan dengan kesuburan. Walaupun kami bukanlah pakar sakit puan, tetapi pengalaman menempuh peringkat awal perkahwinan tanpa zuriat telah menggerakkan kami untuk membuat kajian yang mendalam tentang kesuburan dan punca-punca sukar hamil. Hasil penemuan kami adalah sangat menakjubkan. Banyak perkara menarik yang telah kami terokai.

Pada mulanya kami merasa ragu-ragu dengan kemampuan kami untuk membuat penulisan dalam bidang ini. Tetapi, setelah difikirkan bahawa adalah sangat merugikan jika hasil kajian tersebut dibiarkan sahaja terperap di dalam ‘hard disk’, maka blog ini telah diwujudkan atas dasar keinginan untuk berkongsi maklumat-maklumat tersebut.

Kami akan berkomunikasi dengan anda bukan sebagai pakar perubatan, tetapi sebagai pasangan suami isteri yang pernah melalui salah satu tempoh sukar sepertimana yang anda lalui sekarang. Oleh itu penulisan kami tidak terlalu ‘medical’ atau saintifik. Kami akan cuba sebaik mungkin untuk menggunakan bahasa-bahasa yang mudah walaupun sesekali mungkin kami terpaksa menggunakan istilah-istilah yang mungkin asing bagi sesetengah orang.

Walaubagaimanapun, ingin kami tegaskan bahawa tidak sekali-kali akan kami berikan sebarang khidmat nasihat berbentuk konsultasi perubatan atau rawatan. Dari semasa ke semasa, melalui penulisan di blog ini, kami akan menggalakkan anda untuk sentiasa merujuk kepada mana-mana doktor yang berdekatan untuk sebarang khidmat nasihat yang profesional.

Jika anda ada sebarang cadangan atau komen yang membina, kami sedia terima dengan hati terbuka untuk kebaikan bersama. Anda boleh kemukakan cadangan-cadangan tersebut melalui page Hubungi Kami atau email ke admin@mudahhamil.com

Share/Save/Bookmark